Monday, April 5, 2010

7 Warna Pelangi di Kuala

Merah – Semerah kebaya Kak Temah yang baru sebulan berkawin selepas menjanda bertahun lamanya. Lenggoknya memang menggoda menggetar jiwa tak kira teruna atau duda. Lebai Salim arwah tatkala terpandang lenggokan Kak Temah. Motorsikal yang ditunggangnya terbabas ke parit konkrit di tepi sawah.
Jingga – Sebening senja yang biasa di pandang mata. Lebih-lebih lagi yang menjadi penarik di Kuala. Pemandangan menjadi lebih menarik tatkala bilal di masjid berdekatan melaungkan azan Maghrib. Lebih ramai yang leka. Lebih ramai yang memuja. Tapi sayangnya pujaan lebih di Kuala tetapi makmum di masjid hanya dua tiga depa.
Kuning – Budaya barat yang tidak tentu arah tuju. Pedoman dan ikutan banyak dari kita. Gah bagai raja dimata. Konon liberal jiwa merdeka. Tapi hakikatnya menjadi hamba. Daki kepada dunia dan kadangkala sampah yang jijik dipandang mata. Runtuh rosak hancur binasa akhlak mereka. Tetapi siapa kita untuk menghakiminya.
Hijau – Terbentang, luas pemandangan. Cantik. Tetapi sayang, semakin hari semakin hilang. Bergantikan permodenan, pembangunan. Dulu berekar – ekar sekarang tinggal sekangkang. Cuma persoalannya, salahkah pembangunan? Salahkah arus pemodenan? Lenggang Kak Temah pun mesti tak sehebat sekarang jika tiada arus pemodenan.
Biru – Seluas lautan ilmu itu diibaratkan. Seluruh isinya masih jauh dari jangkauan. Leka kita, hanyut kita, ketinggalan jauh dibelakang andai ilmu kita lalaikan. Itu pesan daripada seorang insan. Pastinya ramai yang sedar tentang hakikat ini. Tetapi bagaimana yang diamalkan? Sama-sama kita fikirkan.
Indigo – Warna yang susah untuk digambarkan. Pak Imam pun berfikir lantas diam tanpa jawapan tatkala persoalan ini ku ajukan. Makmumnya cuma dua tiga depa tapi tazkirah dan nasihat disampaikan juga. Penghargaan tidak terkira kepada semua mereka. Nasihat dan ingatan mereka kadang-kadang menjadi pengubahcara. Menenangkan jiwa dan meluaskan minda. Membantu juga bagi meleraikan masalah yang melanda. Kata Dr. M, Melayu mudah lupa.
Unggu – Bagai birat di lengan aku tatkala aku leka semasa ajaran guru. Ntah kemana fikiran aku melayang lantas lenganku di cubit kuat. Kenangan itu bertahun lamanya tetapi bagai semalam. Aku tidak marah tetapi aku gembira. Tunjuk ajarnya begitu berguna. Terima kasih juga pada semua mereka. Tanpa mereka mungkin sebahagian kita telah hilang semua punca.
Pelangi di Kuala sudah lama tiada. Mungkin esok atau lusa pelangi itu akan menjelma semula.

No comments:

Post a Comment