Monday, April 5, 2010

7 Warna Pelangi di Kuala

Merah – Semerah kebaya Kak Temah yang baru sebulan berkawin selepas menjanda bertahun lamanya. Lenggoknya memang menggoda menggetar jiwa tak kira teruna atau duda. Lebai Salim arwah tatkala terpandang lenggokan Kak Temah. Motorsikal yang ditunggangnya terbabas ke parit konkrit di tepi sawah.
Jingga – Sebening senja yang biasa di pandang mata. Lebih-lebih lagi yang menjadi penarik di Kuala. Pemandangan menjadi lebih menarik tatkala bilal di masjid berdekatan melaungkan azan Maghrib. Lebih ramai yang leka. Lebih ramai yang memuja. Tapi sayangnya pujaan lebih di Kuala tetapi makmum di masjid hanya dua tiga depa.
Kuning – Budaya barat yang tidak tentu arah tuju. Pedoman dan ikutan banyak dari kita. Gah bagai raja dimata. Konon liberal jiwa merdeka. Tapi hakikatnya menjadi hamba. Daki kepada dunia dan kadangkala sampah yang jijik dipandang mata. Runtuh rosak hancur binasa akhlak mereka. Tetapi siapa kita untuk menghakiminya.
Hijau – Terbentang, luas pemandangan. Cantik. Tetapi sayang, semakin hari semakin hilang. Bergantikan permodenan, pembangunan. Dulu berekar – ekar sekarang tinggal sekangkang. Cuma persoalannya, salahkah pembangunan? Salahkah arus pemodenan? Lenggang Kak Temah pun mesti tak sehebat sekarang jika tiada arus pemodenan.
Biru – Seluas lautan ilmu itu diibaratkan. Seluruh isinya masih jauh dari jangkauan. Leka kita, hanyut kita, ketinggalan jauh dibelakang andai ilmu kita lalaikan. Itu pesan daripada seorang insan. Pastinya ramai yang sedar tentang hakikat ini. Tetapi bagaimana yang diamalkan? Sama-sama kita fikirkan.
Indigo – Warna yang susah untuk digambarkan. Pak Imam pun berfikir lantas diam tanpa jawapan tatkala persoalan ini ku ajukan. Makmumnya cuma dua tiga depa tapi tazkirah dan nasihat disampaikan juga. Penghargaan tidak terkira kepada semua mereka. Nasihat dan ingatan mereka kadang-kadang menjadi pengubahcara. Menenangkan jiwa dan meluaskan minda. Membantu juga bagi meleraikan masalah yang melanda. Kata Dr. M, Melayu mudah lupa.
Unggu – Bagai birat di lengan aku tatkala aku leka semasa ajaran guru. Ntah kemana fikiran aku melayang lantas lenganku di cubit kuat. Kenangan itu bertahun lamanya tetapi bagai semalam. Aku tidak marah tetapi aku gembira. Tunjuk ajarnya begitu berguna. Terima kasih juga pada semua mereka. Tanpa mereka mungkin sebahagian kita telah hilang semua punca.
Pelangi di Kuala sudah lama tiada. Mungkin esok atau lusa pelangi itu akan menjelma semula.

Mereka dan Dunia

Luncai terjun dengan labunya. Biarkan. Pak Pandir memilih Mak Andeh sebagai jodohnya. Biarkan. Lebai Malang yang tidak pernah merasa untung. Biarkan.
Monyet hendakkan cili. Biarkan. Anjing hendakkan tulang dibayangnya sendiri. Biarkan. Sang Arnab yang hendak tidur dipertengahan perlumbaan. Biarkan.
Tetapi patutkan Hang Tuah membunuh Jebat tatkala Jebat menuntut pembelaan? Patutkah sapi mendapat nama dari susu milik lembu? Patutkah Bawang Putih dipinang putera Raja?
Bak kata pepatah,
Cerdik tak boleh nak ditumpang. Bodoh tak boleh nak diajar. Kecik-kecik tak mau mampuih, dah besar menyusahkan orang.
Ikutlah resmi padi makin tunduk makin berisi. Jangan jadi si lalang kekiri kekanan mengikut tiupan angin kencang.

‘Aku Menulis Tentang Dia’

Seingat aku, sudah terlalu lama masa itu berlalu. Sinar matanya membuat hati aku cair. Dunia ini aku rasa sangat indah. Seindah tujuh warna pelangi.

Andai ada kata yang dapat aku gambarkan betapa bahagianya aku ketika itu.
Andai ada lagu yang dapat meluahkan betapa bahagianya aku ketika itu.
Andai ada puisi yang sehebat jiwa bahagia aku ketika itu.
Sudah pasti akan aku katakan, aku dendangkan, aku lagukan, untuk dunia tahu betapa bahagianya aku.

Dia wujud secara tiba-tiba di dalam sudut hati. Tanpa aku sedar dia yang aku puja, aku nanti, aku cari saat jauh dia dari zahir ini. Dan sejak itu aku bertekad. Dia lah segalanya bagi aku.
Dan aku nanti, aku tunggu tetapi masa terlalu lama rasanya berlalu.
Biar dunia sangka aku gila, biar semua orang kata, aku tidak pernah kira. Aku pujangga yang memuja. Pujaanku hanya Dia.
‘Taman Putri’
11.24pm